SELANGOR

‘Made In Selangor’ bakal diperluaskan ke luar Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRA HEIGHTS, 30 MAC: Program ‘Made In Selangor’ bakal diperluaskan ke pasaraya dan pusat membeli belah di luar Selangor dalam tempoh terdekat.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan berunding untuk menempatkan kiosk di pasaraya AEON bagi meluaskan peluang peniaga mempromosikan produk mereka.

“Kita sedang cuba menjalinkan kerjasama dengan pusat membeli belah AEON yang tidak hanya di Selangor dan Lembah Klang tetapi boleh sampai ke Melaka, Johor Bharu serta beberapa lokasi lain,” katanya.

Ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak perniagaan ‘Made In Selangor’ di Pasaraya Giant, Putra Heights beliau berkata, setakat ini lebih 20 peserta sudah menyertai program ini yang menempatkan peniaga selama dua bulan di lokasi tertentu.

Katanya, ‘Made In Selangor’ yang bakal memasuki peringkat ketiga dijangka mendapat lebih banyak sambutan pada Ramadan dan Aidilfitri.

Bagi petugas gerai alat solekkan, Dannea Zulaikha, 18, ini merupakan penyertaan pertama beliau dalam program ‘Made In Selangor’.

Katanya, hasil perniagaan boleh mencecah RM300 sehari jika waktu puncak khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.

Saidatul Syazwani Saimi, 23, yang menjaga gerai jualan kek turut berkongsi pengalaman menyertai program ‘Made In Selangor’ untuk kali kedua dan sebelum ini ditempatkan di Pasaraya Giant Kota Damansara.

Beliau berpandangan program ini sangat baik untuk usahawan baru memperkenalkan produk masing-masing disamping membuat jualan.


Pengarang :