NASIONAL

MAHB belum rancang bina terminal KLIA3

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tiada perancangan segera membina terminal ketiga bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti dilaporkan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, MAHB kini sedang menimbang untuk meluas dan mengubah suai Terminal Utama KLIA serta menaik taraf sistem, yang dijadualkan dilaksanakan dalam masa lima tahun lagi.

“Pelan Induk KLIA memperuntukkan tanah yang luas dan boleh menampung lebih banyak terminal tengah bagi KLIA dan klia2 serta landasan tambahan, pada masa hadapan.

“Pada masa ini, kami komited membuat pelaburan dalam menaik taraf dan meluaskan terminal yang ada untuk meningkatkan kapasiti.

“Selepas itu, baharulah kita boleh berbincang berkenaan terminal baharu tetapi ia masih jauh lagi,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan yang menyatakan MAHB merancang untuk membangunkan terminal baharu dalam tempoh lima tahun lagi kerana terminal sedia ada, KLIA dan klia2 hampir mencapai kapasiti penuh.

Pada masa ini, kapasiti digabungkan KLIA adalah 75 juta penumpang setahun.

Pada 2017, ia mencatatkan 58.6 juta pergerakan trafik penumpang dan masih mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung pertumbuhan trafik dalam masa terdekat.


Pengarang :