KENYATAAN MEDIA

Maklumat tular berkaitan kejadian keracunan makanan di Lembah Klang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada akhir minggu ini iaitu bermula 2 Mac 2018, KKM telah menerima makluman mesej tular mengenai berlakunya wabak Keracunan Makanan (KRM) berkaitan dengan keselamatan bekalan air di Lembah Klang.

Adalah dimaklumkan bahawa kandungan mesej itu adalah tidak benar dan tidak boleh dipercayai.

Hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit didapati tiada peningkatan kejadian KRM dilaporkan.

Didapati kejadian KRM yang berlaku buat masa ini adalah terpencil dan terkawal serta tiada kaitan dengan bekalan air atau gangguan bekalan air.

Seperti pernah dinasihatkan sebelum ini, KKM sentiasa menyarankan agar orang ramai sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan makanan dan minuman yang diambil adalah selamat dari sebarang pencemaran.

Pengendali makanan pula perlu peka dengan amalan pengendalian makanan yang selamat bagi memastikan makanan yang disediakan tidak menyebabkan keracunan makanan.

KKM akan terus memantau status kejadian KRM yang berlaku di Malaysia. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak perlu khuatir serta tidak mempercayai maklumat-maklumat tular yang tidak disahkan oleh KKM.

Sekian dan terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
3 Mac 2018


Pengarang :