SELANGOR

Mana janji PM mahu naik taraf Persimpangan Rasa?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung janji untuk menaik taraf jalan Persimpangan Rasa.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri sudah membuat perancangan jangka masa panjang untuk mengambil tanggungjawab menaik taraf jalan itu yang milik Kerajaan Persekutuan.

Katanya, perancangan itu membabitkan peruntukan RM20 juta untuk menaik taraf persimpangan dan menggantikan jambatan di Jalan Kuala Kali-Rasa (B115) ke laluan Persekutuan 1, Seksyen 441.00, daerah Hulu Selangor.

“Saya kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mengumumkan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina lampu isyarat pada lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Rasa, baru-baru ini.

“Najib tergesa-gesa mengumumkan peruntukan sedangkan tidak mengetahui masalah sebenar kawasan berkenaan, juga tidak memaklumkan atau merujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong mempersoalkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan sehinggakan Kerajaan Negeri mengambil tindakan awal.

“Seperti juga pembinaan Jambatan Ketiga Klang. Kerajaan Negeri juga yang mengeluarkan peruntukan. Di mana tanggungjawab Kerajaan Persekutuan?,” soalnya.

“Sejak dipilih sebagai ADN KKB, saya bertanya kepada dua bekas jurutera daerah Hulu Selangor mengenai keselamatan persimpangan itu.

“Mereka memaklumkan bahawa lampu isyarat tidak sesuai didirikan kerana kawasan itu curam. Salah seorangnya mencadangkan naik taraf persimpangan ini dengan anggaran kos RM20 juta,” katanya.

Pada masa sama, Kee Hiong menjelaskan sebanyak RM500,000 sudah disalurkan kepada JKR negeri untuk melaksanakan kerja-kerja awal termasuk melantik juru ukur tanah oleh Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2018.

Terdahulu, Najib memuat naik di Twitternya menjelaskan bahawa BN prihatin terhadap rintihan rakyat namun berbeza dengan DAP yang sebelum ini pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah berkenaan tetapi tidak ditunaikan.

=EZY=

 


Pengarang :