SELANGOR

Mangsa kebakaran Bagan Hailam terima bantuan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 1 MAC: Sebanyak 14 keluarga mangsa kebakaran di Bagan Hailam, Pelabuhan Klang menerima bantuan segera RM7,000 daripada Kerajaan Negeri, pada 27 Februari lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, setiap keluarga menerima RM500 bagi meringankan beban mangsa.

“Bantuan ini tidak terhenti di sini, sebaliknya Kerajaan Negeri akan terus meneliti sumbangan lain bagi meringankan beban mereka.

“Mungkin kita boleh usahakan membantu membina semula rumah mereka yang hangus terbakar 100 peratus. Bagaimanapun, perkara itu perlu dibincang dan diteliti untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, 13 rumah setinggan atas air musnah dan hangus terbakar, manakala sebuah lagi musnah 50 peratus, pada malam ketiga sambutan Tahun Baharu Cina.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu memusnahkan sebahagian besar kediaman penduduk berbangsa Cina dengan api marak dalam tempoh setengah jam.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali menyarankan Kerajaan Negeri membina dewan orang ramai di kawasan terbabit untuk kegunaan penduduk jika ditimpa musibah.

“Mangsa kini berada di rumah saudara masing-masing kerana kawasan ini tidak mempunyai dewan, malah balai JKK juga sudah uzur dan kecil,” katanya.


Pengarang :