NASIONAL

Manifesto PRU PAKATAN: Skim Peduli Sihat diperluas seluruh negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan Kerajaan Selangor bakal diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan (PAKATAN) jika menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Tawaran itu adalah salah satu daripada ’10 Janji 100 Hari’ seperti diumumkan pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan yang bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, malam tadi.

Skim itu ditawarkan dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Sembilan janji lain yang ditawarkan dalam tempoh 100 hari pemerintahan PAKATAN adalah:

1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.

2. Menstabilkan harga minyak dengan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

3. Menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka felda.

4. Memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

5. Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.

6. Menangguhkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

7. Menyiasat skandal dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji serta merombak semula struktur kepimpinan organisasi terbabit.

8. Mengembalikan status Sabah dan Sarawak dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

9. Kaji semula projek mega dengan melancarkan kajian terperinci berhubung projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.


Pengarang :