NASIONAL

MAPIM mulakan usaha hantar misi bantuan ke Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) optimis dalam menggerakkan usaha menghantar pasukan khas ke Palestin bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara bergolak itu.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembentukan pasukan khas itu bertujuan meninjau keadaan semasa yang berlaku di sana, selain menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan ubatan.

Katanya, buat masa ini MAPIM sedang giat memulakan pelbagai gerak kerja yang lebih proaktif untuk memberi keutamaan yang lebih mendesak.

“Pihak kami menjalin kerjasama erat bersama Majlis NGO Pembangunan Gaza supaya misi menyalurkan bantuan kemanusiaan nanti berjalan lancar.

“Bagaimanapun kami mengharapkan perancangan untuk menyusul ke Gaza bagi membawa dana bantuan pada tahun ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Peringatan Hari Nakbah Palestin 70 Tahun, di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya, di sini, semalam.

Terdahulu, MAPIM dan 30 persatuan yang dianggotai Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan mesyuarat serampang dua mata dengan mengusulkan cadangan aktiviti yang bakal dijalankan sempena memperingati peristiwa tragis 15 Mei 1948 yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan.

=EZY=


Pengarang :