NASIONAL

MAPIM tubuh gerakan kembali ke Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Hasil perbincangan melalui mesyuarat khas yang diterajui Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebulat suara bersepakat menubuhkan satu gerakan kembali ke Palestin.

Pengerusi MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid mendukung sepenuhnya agenda dan pelaksanaan itu bagi memberi peluang kepada pelarian Palestin pulang ke rumah mereka untuk menyambut ulang tahun Hari Nakbah.

“Kita akan bergerak seiring dan berganding bahu dengan apa jua cara sekalipun untuk memastikan pelarian Palestin dapat pulang ke tanah air mereka.

“Meskipun, Israel tidak memberi keizinan untuk pulang tetapi kita yakin dengan komitmen dipamerkan badan-badan NGO dan penyatuan rakyat di negara ini ia sedikit sebanyak memberi nafas baru buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas Majlis Pelancaran Peringatan Hari Nakbah Palestin 70 Tahun, di Akademi Pengajian Bahasa Universiti Malaya, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata gerakan yang akan dibuat pada 31 Mac ini adalah sebahagian daripada tanda sokongan menggesa pelarian Palestin untuk pulang setelah sekian lama tidak merasai kehidupan di tanah air sendiri.

“Justeru, kita sentiasa berusaha sedaya upaya mencari bantuan sepatutnya untuk diberi berikutan kesengsaraan dihadapi mereka tidak pernah berkesudahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyeru orang ramai supaya menyatukan suara bersama dengan menunjukkan rasa simpati dan prihatin terhadap nasib menimpa penduduk Palestin.

=EZY=


Pengarang :