BERITA UTAMASELANGOR

MB: Keadilan dan berintegriti teras kemakmuran ekonomi Darul Ehsan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 25 MAC: Pentadbiran Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip keadilan yang jelas dengan amalan integriti bagi menjamin pengukuhan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, amalan ketelusan itu kekal menjamin kemajuan pembangunan dan kestabilan negeri kini.

Katanya, ia turut diselangi dasar keadilan sosial meliputi aspek pembangunan lahiriah semua bangsa di Selangor.

“Hasrat dan cita-cita saya bukan sekadar untuk membangunan Selangor sebagai negeri yang maju sahaja.

“Tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memajukan Selangor sebagai negeri penyayang serta negeri yang mengamalkan ketelusan dan intergriti.

“Komitmen ini adalah amanah yang disandarkan rakyat kepada pentadbiran negeri untuk mengurus negeri ini secara baik, cemerlang dan adil,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, mengambil kira semangat ‘Darul Ehsan’ yang menjadi simbolik kepada pengukuhan jati diri bumi Selangor, kebajikan rakyat terus diberi keutamaan Kerajaan Negeri.

“Apa gunanya ‘Darul Ehsan’ jika negeri yang maju ini tidak mengutamakan hak dan kebajikan rakyatnya?

“Ehsan inilah dizahirkan Kerajaan Negeri menerusi pelaksanaan dasar berkebajikan berterusan di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Jelas sekali IPR yang diperkenalkan secara komprehansif bagi memulangkan kekayaan negeri kepada seluruh rakyat Selangor,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Surau Nurul Hijrah Al-Khalidah, Kampung Melayu, Sungai Sering Bukit Antarabangsa, petang ini.

=EZY=


Pengarang :