BERITA UTAMASELANGOR

MB kemuka 15 DUN Selangor, bantah persempadan SPR

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Selangor mengemukakan 15 senarai Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada prosiding siasatan tempatan kali kedua syor kajian persempadan semula Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dokumen sokongan turut dikemukakan sebagai bantahan Kerajaan Negeri terhadap cadangan persempadanan baru negeri.

“Saya ingin mengingatkan SPR bahawa bantahan ini adalah tanpa prejudis terhadap cabaran Kerajaan Selangor di mahkamah yang kini berada di peringkat Mahkamah Rayuan 23 Mac ini.

“Kerajaan Negeri mengesyorkan supaya SPR tidak mewujudkan bahagian pilihanraya yang terdiri daripada satu-satu kaum sahaja.

“Jika ini berlaku, ia merupakan perkembangan tidak sihat dan boleh menjejaskan keharmonian yang telah lama wujud di Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin mendedahkan, pepecahan populasi kaum terbesar hasil cadangan persempadanan baru SPR termasuklah di Chempaka, Lembah Jaya, Teratai, Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang dan Batu Caves.

Selain itu, Sijangkang, Sungai Burung, Morib, Teluk Datuk, Permatang, Ijok dan Jeram.

“Jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan Jadual Ke 13, Seksyen 2D yang menegaskan bahawa perhatian patut diberikan kepada kesulitan yang mungkin timbul dengan bahagian pilihanraya dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

“Ini bermakna sebarang syor terhadap persempadanan dikemukakan SPR tidak boleh menjejaskan hubungan tempatan yang telah lama wujud di kawasan itu.

“Sekiranya diteruskan, ia sangat bercanggah dengan tindakan SPR dan Kerajaan Negeri mengharapkan agar SPR menilai kembali perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengetuai pimpinan Kerajaan Negeri hadir mendengar sesi pendengaran awam SPR bagi pihak Kerjaan Negeri, di Hotel Concorde Shah Alam, petang ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri; Elizabeth Wong dan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN), Haniza Talha, Ng Suee Lim dan Hasbullah Ridzwan.

 


Pengarang :