BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MB: Penggubalan dasar harus ambil kira pandangan masyarakat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 MAC: Penggubalan dasar dalam pentadbiran kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masa kini harus mengambil kira pandangan masyarakat supaya mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia ekoran aspirasi rakyat yang canggih menuntut perkhidmatan perbandaran berdaya saing dengan perancangan memenuhi aspirasi mereka.

“Kita harus menerima hakikat ini, masyarakat semakin canggih khususnya golongan milenium yang menuntut perkhidmatan perbandaran berdaya saing dalam pelbagai aspek termasuk memelihara alam sekitar, pengukuhan teknologi hijau, prasarana yang mesra penggunan dan mesra orang kelainan upaya (OKU) serta tempat riadah juga pengukuhan budaya dan ilmu.

“Pendekatan paling penting menjadi asas terhadap pentadbiran dalam menggubal dasar, maka PBT di Selangor harus mengambil pendekatan untuk membabitkan penyertaan penduduk dan pembayar cukai supaya mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan kawasan berkenaan,” katanya dalam Majlis Apreasiasi Warga Kerja Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), di sini, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan dan Setiausaha MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Beliau berkata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut melaporkan penduduk bakal mencecah 8.4 bilion menjelang 2030 dan 60 peratus daripada jumlah populasi itu adalah warga kota.

Maka, katanya, sudah tentu cabaran kehidupan bandar ini menuntut kita untuk bertindak secara sistematik, kreatif serta inovatif termasuk menyediakan perkhidmatan pintar dengan aplikasi penyelesaian multi dimensi melalui Internet of Things (IoT), Big Data serta Artificial Intelligence (AI).

“Pembangunan hari ini bukan sahaja dalam konteks fizikal dan ekonomi tetapi menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan PBT untuk turut meneliti aspek kemanusiaan seperti kanak-kanak, pemakanan, wanita serta beberapa aspek lain,” katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Azmin berkata, dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) menerbitkan laporan sebulan lalu bertajuk Children Without : A Study Of Urban Child Poverty In Low Cost Flats In Kuala Lumpur, namun ia ditolak dalam sidang Parlimen, minggu lalu.

Kajian itu, katanya, mendedahkan krisis pemakanan dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun di PPR Kuala Lumpur mengakibatkan bantut, kurus kering dan obesiti.

“Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan yang peduli rakyat untuk melihat ia secara menyeluruh dan saya gembira kerana sebelum laporan ini dikeluarkan Kerajaan Negeri sudah memperkenalkan satu insiatif baharu iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS),” katanya.

 


Pengarang :