SELANGOR

MB: Persekutuan digesa segera muktamadkan penstrukturan air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Kerajaan Persekutuan digesa memuktamadkan isu penstrukturan air negeri secepat mungkin tanpa perlu bersikap prejudis dengan tujuan untuk memburuk-burukkan imej pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, isu kepentingan rakyat perlu diutamakan tanpa perlu mengambil sebarang sentimen politik tertentu.

“Jangan politikkan lagi isu air di Selangor, dan sebab itu Kerajaan Negeri menggesa supaya Kerajaan Persekutuan segera memuktamadkan isu ini.

“Kita lihat isu ini sudah menjadi polemik politik dan ini sebenarnya budaya yang tidak sihat. Justeru saya mahu perkara ini diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Anugerah Cemerlang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di Hotel Flamingo, malam tadi.

Isu pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) gagal dimuktamadkan susulan kelewatan Kerajaan Persekutuan menyatakan nilai sebenar pengambililah ekuiti berkenaan.

Bagaimanapun di peringkat Kerajaan Negeri, nilai pengambilalihan sudah dibuat menerusi lantikan panel penilai pentadbiran Selangor.

Sebelum ini, penangguhan dibuat menerusi dua surat yang dihantar Putrajaya kepada Kerajaan Negeri susulan kegagalan panel penilai lantikan Kementerian Pusat.

Untuk rekod, tempoh proses pengambilalihan itu sepatutnya berakhir pada 5 Oktober lalu, dengan nilai pengambilalihan itu didedahkan kepada umum.

Susulan keputusan itu kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri kecewa berhubung hasil dapatan penilaian yang dibuat oleh panel penilai lantikan peringkat Persekutuan.

=EZY=


Pengarang :