BERITA UTAMASELANGOR

MB: RM1.5 juta jaga kebajikan bekas anggota keselamatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk disalurkan bagi menjaga kebajikan dan kemudahan bekas anggota keselamatan negara di Selangor, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan disediakan itu adalah penghargaan Kerajaan Negeri terhadap pengorbanan dan perkhidmatan cemerlang dicurahkan mereka demi keamanan negeri itu dan negara.

“Bagi tujuan ini, dalam tempoh dua tahun ini Kerajaan Negeri sebagai kerajaan peduli rakyat telah memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun lalu dan kita tambah menjadi RM1.5 juta tahun ini.

“Ia sebagai tanda hormat dan penghargaan Kerajaan Negeri kepada pihak berkaitan yang banyak menyumbang bakti dan pengorbanan bagi menjaga keselamatan negara.

“Tanpa sumbangan dan khidmat cemerlang ini, tidak mungkin Selangor dan negara akan berada pada tahap pembangunan pada ketika ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kewangan kepada Persatuan-Persatuan Pasukan Keselamatan Selangor di Dewan Annex di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin menyerahkan sumbangan RM1.2 juta kepada tiga pertubuhan keselamatan di Selangor iaitu RM500,000 kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bekas Polis Malaysia (RM400,000) dan Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (RM300,000).

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan kepada 22 individu iaitu veteran angkatan tentera khususnya mengalami kecederaan ketika dalam perkhidmatan serta lapan pertubuhan keselamatan di negeri itu.

“Kita bersyukur dengan pengorbanan dicurahkan mereka ini demi keamanan negara dan masa depan generasi akan datang.

“Saya percaya dengan komitmen, kesungguhan dan latihan anggota tentera, polis dan keselamatan lain, negara kita akan bertambah makmur,” katanya.

=EZY=


Pengarang :