BERITA UTAMASELANGOR

MB: RM4.5 juta diperuntuk laksana program pulihara alam sekitar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan program dan aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau di Selangor, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bertambah RM1.1 juta diperuntukkan pada tahun lalu (RM3.4 juta) bagi membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri bagi tujuan berkenaan.

“Seperti tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri adalah yang pertama bekerjasama dengan Persatuan Arborist Malaysia bagi kursus persijilan arborist kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Seramai 24 wakil daripada PBT mengikutinya dan usaha ini membuktikan Kerajaan Negeri komited dalam memastikan semua proses penanaman, pengurusan, penebangan dan pemuliharaan pokok dilaksanakan di peringkat PBT di Selangor dilakukan dengan betul dan mengguna pakai standard antarabangsa,” katanya dalam Majlis Penyerahan Cek Geran Alam Sekitar dan Trknologi Hijau di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin menyerahkan sumbangan RM750,000 kepada 98 organisasi terbabit dalam perkara berkenaan.

Beliau berkata, Selangor adalah antara negeri yang proaktif dalam melaksanakan usaha pengurangan pengeluaran karbon selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan di Persidangan ke-21 Negara PaRTI (COP21) untuk mengurangkan intensiti pengeluaran karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding 2009.

Pelan Tindakan Teknologi Hijau Selangor 2016 – 2018

Katanya, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Selangor 2016 – 2018 yang mana pelan itu mengandungi tujuh elemen tindakan utama memberi fokus kepada pengurangan emisi karbon, penggunaan tenaga, air dan sisa.

“Tujuh elemen utama ini ialah perbandaran hijau melalui kerangka bandar rendah karbon, perolehan hijau kerajaan, pemasangan rangkaian pengecas kenderaan elektrik, penggunaan bas elektrik bagi program bas percuma di PBT, pemasangan bumbung solar bagi projek perumahan Selangorku, bangunan cekap tenaga di bangunan Kerajaan Negeri dan program penghijauan taman industri.

“Kerajaan Negeri mensasarkan semua PBT di Selangor akan melaksanakan kerangka bandar rendah karbon menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini enam daripada 12 PBT telah mengguna pakai kerangka itu iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

Katanya, Kerajaan Negeri akan sentiasa melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau demi pembangunan dan kemajuan negeri itu.

“Selangor menikmati kemajuan dalam sektor industri dan ekonomi tetapi penting bagi Kerajaan Negeri memastikan kesedaran awam mengenai pemuliharaan alam sekitar dan teknologi hijau dapat terus dipertingkatkan,” katanya.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

=EZY=


Pengarang :