BERITA UTAMASELANGOR

MB: Sambutan Pesta Buku Selangor Ke-13 semakin baik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 MAC: Sambutan Pesta Buku Selangor Kali Ke-13 yang semakin memberangsangkan membuktikan peningkatan budaya membaca di kalangan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau berharap penganjuran program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu berjaya mencapai matlama agenda pencerahan oleh Kerajaan Negeri.

“Ini menunjukkan rakyat Selangor menanamkan rasa cinta kepada buku dan ilmu kerana ilmu suatu perkara yang sangat penting dalam membangunkan negeri Selangor.

“Apatah lagi kita dalam proses untuk membangunkan Selangor sebagai negeri pintar serantau dan berteraskan ekonomi pengetahuan dan ilmu pengetahuan, kemahiran amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Selangor 2018 Kali Ke-13, di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, hari ini.

Jelasnya, usaha ini perlu berterusan bagi memastikan aspirasi Kerajaan Negeri melahirkan masyarakat berilmu, berketrampilan dan memiliki keyakinan diri dalam menentukan masa depan negara menjadi kenyataan.

Katanya, rakyat juga bebas memilih bahan bacaan disukai dan tidak terhad kepada bacaan ilmiah sahaja kerana segmen bacaan lain turut memiliki mesej ingin disampaikan.

“Sudah tentu bukan Utusan Malaysia tetapi saya kira buku ilmiah penting, novel dan cerpen juga penting kerana ada mesej tertentu untuk masyarakat hari ini sebab itulah kita mahu rakyat bukan mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga terus terikat dengan nilai kebudayaan, kesusasteraan kerana itu juga merupakan satu elemen penting dalam masyarakat.

“Bagi saya rakyat boleh pilih apa bidang yang ingin dibaca, yang penting tanam minat baca buku kerana apabila ada minat saya percaya akan menjadi satu budaya dalam masyarakat,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengarah PPAS, Mastura Muhamad mensasarkan seramai 400,000 pengunjung hadir pada pesta buku kali ini.

=EZY=


Pengarang :