SELANGOR

MB sangkal PM, Rumah Selangorku agenda penting rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 MAC: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbohong dan cuba memanipulasi situasi sebenar terhadap pelaksanaan dasar perumahan berkebajikan, Rumah SelangorKu di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Rumah SelangorKu kini dijual pada kadar mampu milik, sekali gus menepis dakwaan Perdana Menteri kononnya kadar jualannya lebih tinggi dan membebankan rakyat.

“Rumah SelangorKu adalah agenda penting Kerajaan Selangor untuk membolehkan golongan berkelayakan mendapat akses pemilikan rumah yang mampu dimiliki.

“Ini adalah usaha untuk mengangkat dasar ‘house of democracy’ di Selangor, seterusnya menjawab tohmahan Najib yang turun ke Hulu Selangor baru-baru ini.

“Najib mendakwa kononnya harga Rumah SelangorKu jauh lebih mahal dan ini adalah pembohongan berterusan daripada Najib,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, harga Rumah Selangorku dijual pada kadar terendah sekitar RM40,000 hingga RM200,000 yang mefokuskan kepada golongan B40.

“Najib, figure (nilai) tidak pernah berbohong,” tegas Mohamed Azmin ketika berucap pada Malis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam.

Terdahulu, Najib pada program turun padang di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini mendedahkan masalah perumahan rumah mampu milik negeri menjadi antara pertikaian dan kelemahan kepada pentadbiran Kerajaan Pakatan di Selangor.

Menafikan dakwaan itu, Mohamed Azmin turut mendedahkan kejayaan dasar Rumah SelangorKu apabila berjaya menyediakan 70 peratus perumahan baru di bawah kadar RM200,000.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak swasta telah berjaya menyiapkan 3620 unit Rumah SelangorKu dan tambahan 20,627 unit sedang dalam peringkat pembangunan dan mula dijual kepada golongan berkelayakan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :