SELANGOR

MB: Selangor dan Pahang bersaudara, tingkat hubungan tahap tertinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Selangor sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memakmurkan negeri itu termasuk menjalin kerjasama erat dengan negeri jiran.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu termasuk menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pahang.

“Dalam konteks ini, Selangor menerima Negeri Pahang Darul Makmur dengan semangat persaudaraan dan kejiranan.

“Satu lagi manfaat daripada majlis yang bermakna ini adalah untuk kita bersama mengangkat kerjasama ekonomi yang wujud antara Pahang dan Selangor ke tahap lebih tinggi bagi menyuntik dinamisme ekonomi sempadan,” katany pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor dan Pahang di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Katanya, sementara mengiktiraf keabsahan sempadan geografi dan fizikal, namun kedua negeri itu perlu memupuk semangat persefahaman serta kerjasama dalam semua aspek penting kehidupan khususnya yang menjamin kemakmuran juga kesejahteraan rakyat, antara dua negeri.

Mohamed Azmin turut melahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Diraja Adnan Yaakob yang memberikan kepimpinan dan sokongan untuk menjayakan usaha persempadanan Selangor dan Pahang.

Katanya, kejayaan itu satu lagi sejarah penting dicatatkan dua negeri itu.


Pengarang :