BERITA UTAMASELANGOR

MB: Sumbangan kaum Tionghua bangunkan negara dihargai

OLEH AFIX REDZUAN

KEPONG, 4 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa bersama lebih 500 masyarakat di Taman Desa Jaya menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2018 DUN Bukit Lanjan.

Beliau yang tiba sekitar jam 10.20 pagi disambut Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong serta pimpinan setempat.

Mohamed Azmin dalam ucapannya berkata, sumbangan masyarakat Tionghua dalam pembangunan tidak boleh dinafikan dalam membangunkan Malaysia.

“Jangan marah Robert Kuok, dia banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara. Begitu juga masyarakat Tionghua, mereka adalah rakyat Malaysia.

“Mereka bekerja kuat untuk membangunkan ekonomi Malaysia. Tanpa sumbangan orang Cina, tidak mungkin Malaysia mencatatkan kejayaan seperti hari ini,” katanya.

Menurutnya, keharmonian yang ada di Malaysia dan Selangor wajar dipertahankan sebagai satu keluarga selain membawa perubahan kepada pimpinan di Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sambutan Tahun Baru Cina DUN Bukit Lanjan turut dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Kesemua pimpinan bersama-sama menggaul Yee Sang selain dihiburkan dengan beberapa persembahan daripada komuniti masyarakat Cina.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin dan Wan Azizah bersama-sama menyempurnakan perasmian Bilik Gerakan Utama N37 Bukit Lanjan.

=EZY=


Pengarang :