PBTSELANGOR

MBPJ lancar Dashboard PKKPJ

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan aplikasi Dashhboard PKKPJ – PJ Smart City sebagai platform dua hala memantau tahap keberkesanan pelaksanaan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) bagi menangani kes jenayah.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, dashboard berkenaan menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) mengandungi maklumat setiap lokasi taburan program PKKPJ, ‘heat map’ taburan lokasi dan taburan aktif program mengikut kawasan seksyen dan zon ahli majlis.

“Statistik yang diperoleh melalui Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) di Petaling Jaya menunjukkan penurunan kes jenayah dengan kadar peratusan sebanyak 85.71 peratus.

“Ini membuktikan bahawa program PKKPJ memberi impak yang positif terhadap keberkesanan program dan keselamatan kejiranan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyampaian Sumbangan Program PKKPJ dan pelancaran Dashboard – PJ Smart City di Dewan Sivik MBPJ, kelmarin.

Difahamkan, tahun lalu MBPJ telah melancarkan portal program PKKPJ sebagai kemudahan kepada pemohon untuk menghantar permohonan serta laporan secara atas talian.

Selain itu, MBPJ juga dapat menjalankan pemantauan keberkesanan program melalui laporan dan aktiviti keselamatan yang dijalankan.

Sejak permohonan PKKPJ dilaksanakan secara atas talian, 122 permohonan telah diterima namun hanya 115 permohonan layak menerima peruntukan dana sebanyak RM6,000.

=EZY=


Pengarang :