PBTSELANGOR

MBPJ peruntuk RM1.3 juta utamakan isu keselamatan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM1.3 juta bagi membangunkan program Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2018.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pihaknya merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menubuhkan PKKPJ bagi mewujudkan suasana kejiranan setempat yang selamat dengan menggalakkan penglibatan Persatuan Penduduk (RA), Rukun Tetangga (RT) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Katanya, pihaknya juga adalah PBT pertama di Malaysia yang memperuntukkan dana khusus pelaksanaan aktiviti keselamatan di kejiranan Petaling Jaya.

“Sebanyak 115 daripada 122 permohonan daripada RA, RT dan JMB diluluskan bagi membolehkan setiap organisasi layak menerima insentif RM6,000 bagi melaksanakan program keselamatan.

“Sumbangan ini sebagai tanda sokongan MBPJ dalam aktiviti pencegahan jenayah disamping membantu meringankan beban organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Penyampaian Sumbangan Program PKKPJ dan pelancaran Dashboard – PJ Smart City di Dewan Sivik MBPJ, malam tadi.

Selain itu, Azizi berkata, pihaknya juga merangka pelbagai inisiatif ke arah penyatuan masyarakat daripada pelbagai kaum dalam program ‘Community Policing’ bagi mempertingkat dan memperkasakan lagi PKKPJ.

Katanya, ia dilihat mampu mengeratkan hubungan kerjasama masyarakat dengan MBPJ, polis serta agensi keselamatan yang lain dalam menjayakan program keselamatan secara tidak langsung mengurangkan kadar kes jenayah.

=EZY=


Pengarang :