PBTSELANGOR

MBSA anjur Earth Hour 24 Mac

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited memacu kelestarian bandar dengan menganjurkan Program 60+ Earth Hour sebagai mekanisme menyokong kempen Earth Hour dunia di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, 24 Mac ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, program itu sebagai simbolik sokongan terhadap usaha World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia untuk menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

“Program ini merupakan komitmen berterusan mendidik masyarakat khususnya komuniti Shah Alam bersama berganding bahu mengamalkan sikap tanggungjawab dalam memulihara keseimbangan alam sekitar.

“Kita akan mengadakan acara Berbasikal Kayuhan Malam MBSA mengililingi pusat bandar sejauh 10km sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini.

“Sebanyak 400 T-Shirt percuma akan diberikan kepada 400 peserta terawal yang mendaftar secara atas talian bermula 21 Mac ini,” katanya dalam kenyataan.

Sharin berkata, pihaknya akan menyediakan cabutan bertuah kepada 20 orang peserta kayuhan. Kaunter pendaftaran bagi cabutan bertuah akan dibuka mulai jam 6.30 petang hingga 7.30 petang pada hari berlangsungnya kempen.

Selain itu, acara sampingan lain yang turut diadakan adalah pertandingan mewarna, persembahan pentas, Pameran Inisiatif Hijau MBSA, Chu-Chu Train, dan Food Truck.

Orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan Beca Bercahaya secara percuma yang disediakan oleh MBSA.

“Bagi pertandingan mewarna kanak-kanak, MBSA menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM2,000 kepada para pemenang.

“Inisiatif ini bagi memupuk kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar dan
juga kesedaran terhadap pemanasan global yang semakin meruncing bermula di peringkat awal kepada kanak-kanak,” katanya.

Justeru MBSA menyeru pemilik premis di sekitar Shah Alam untuk memadamkan lampu bangunan yang bukan lampu utama di premis masing-masing untuk tempoh satu jam bermula 8.30 hingga 9.30 malam.


Pengarang :