PELANCONGANRENCANA

Menariknya Selangor!

OLEH SHEEDA FATHIL

Kepada mereka yang masih mencari destinasi untuk bercuti bersama keluarga, saya mencadangkan anda berkunjung ke Selangor yang memiliki pelbagai lokasi menarik selain kaya dengan flora dan fauna.

Negeri ini turut menjadi nadi utama negara memandangkan tempat masuk utama ke Malaysia adalah melalui Selangor iaitu Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Maka, tidak hairanlah Tourism Selangor menjenamakan ‘Discover Selangor, Heart of Malaysia’.

Baru-baru ini, Tourism Selangor dengan kerjasama Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) mengadakan lawatan Familiarisation (FAM) Tour di tiga daerah iaitu Petaling, Kuala Selangor dan Sekinchan, bermula 17 hingga 18 Januari lalu.

Kubah ‘Masjid Biru’ terbesar di dunia

Seawal jam 7 pagi, saya bersama yang lain diminta untuk berkumpul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu lokasi pertama dilawati sebelum memulakan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Digelar sebagai ‘Masjid Biru’ dalam kalangan pelancong, ia adalah masjid terunggul di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara yang dibina atas kawasan seluas 14.6 hektar, di pusat bandar Shah Alam.

Menariknya, masjid berkenaan mempunyai kubah terbesar di dunia dengan ciri seni bina menggunakan aluminium disaluti emas serta dihiasi khat al-Quran berwarna biru berlatar belakang panel kelabu yang tidak memerlukan penyelenggaraan, selama 200 tahun.

Dikelilingi empat menara tinggi yang dibina di setiap penjuru kubah dengan ketinggian 140 meter dari aras tanah, pelancong yang hadir boleh naik dan melihat sendiri fungsi menara itu, di samping menjamu mata pemandangan sekitar Shah Alam.

Masjid tiga tingkat itu berupaya memuatkan 24,000 jemaah dalam satu masa dan dilengkapi pejabat, bilik persidangan, bilik menyambut tetamu, bilik kuliah, dewan solat utama dan galeri.

Dengan gabungan seni bina tradisi Islam dan Asia Barat, masjid berkenaan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 11 Mac 1988.

Homestay Sungai Sireh

Selesai sahaja lawatan di ‘Masjid Biru’, kami dibawa menaiki bas untuk ke destinasi seterusnya iaitu Homestay Sungai Sireh yang terletak, di Tanjong Karang.

Sejurus tiba di lokasi, kami disambut dengan alunan bunyi paluan kompang yang memecah kesunyian, sekali gus membuatkan tetamu berasa dihargai.

Homestay Sungai Sireh mula beroperasi pada 5 April 1995 dengan menggunakan konsep keluarga angkat iaitu pelancong atau penduduk tempatan yang hadir boleh menginap di rumah penduduk di situ dan mencuba pelbagai aktiviti menarik mengikut pakej disediakan.

Hampir setiap minggu homestay berkenaan menerima kunjungan tetamu sama ada dari luar negara atau tempatan.

Saya turut berkesempatan melakukan pelbagai aktiviti antaranya menanam padi, memancing ikan, mewarna batik canting serta mengelilingi sawah padi menaiki trem.

Terpesona cahaya semula jadi kelip-kelip

Senja mula menjelma menandakan kegelapan malam bakal menyelimuti permukaan bumi sambil ditemani cahaya keindahan bulan dan bintang.

Saya dibawa merasai sendiri keindahan cahaya semula jadi serangga kelip-kelip dengan menyelusuri sungai Kampung Kuantan.

Cetusan cahaya itu antara nikmat alam semula jadi di kawasan yang terletak sejauh 60 kilometer dari kepesatan bandar raya Kuala Lumpur.

Menariknya, serangga unik kelip-kelip ini adalah antara koloni kumbang daripada spesis Lampyridae terbesar, di dunia.

Tenaga Nasional Berhad turut komited mengangkat Kampung Kuantan sebagai salah satu tarikan pelancong di bawah program tanggungjawab sosial korporat dengan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kerajaan Negeri, pada 2006.

Sky Mirror persis Salar De Uyuni

Sky Mirror yang juga digelar Salar De Uyuni Malaysia adalah tarikan terbaru di Kuala Selangor, malahan ia amat sesuai buat pencinta alam semula jadi juga peminat fotografi.

Setiap gambar dirakam ibarat cermin besar yang dihamparkan secara semula jadi dengan langit dilihat atas cerminan air menghasilkan suasana menakjubkan.

Fenomena seperti itu tidak kerap berlaku, namun ia hanya akan terjadi enam hari setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada hari pertama, kedua, 12, 15, 16 dan 30.

Manakala, waktu berlaku air surut pula antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi. Pengunjung perlu bijak merancang perjalanan untuk mendapatkan keunikan ‘pulau misteri’ itu.

Sekinchan mendamaikan

Digelar Jelapang Padi Selangor, Sekinchan bukan hanya terkenal dengan sawah padi tetapi kaya dengan pelbagai hasil bumi antaranya buah-buahan dan lokasi penting untuk hasil laut.

Saya dibawa ke Muzium Padi atau Pusat Maklumat Pertanian Padi di Jalan Tali Air 5, Ban 2, Sekinchan, untuk melihat aktiviti memproses padi menjadi beras bermula daripada menanam hingga siap dipasarkan.

Tidak lengkap perjalanan jika tidak berkunjung ke Ah Ma House bersebelahan Muzium Padi yang mengimbau zaman kanak-kanak dengan pelbagai makanan serta permainan penuh nostalgia.

Ah Ma ialah perkataan Hokkien yang bermaksud nenek. Perniagaan utamanya menjual biskut tradisional seperti kuih tart nenas, kuih bangkit dan kuih kapit hasil resepi turun-temurun.

Menariknya, ia turut menjual pelbagai barangan antik antaranya teko lama, mangkuk tingkat dan seterika.

Sebenarnya, masih banyak lokasi menarik yang boleh anda kunjungi di Selangor. Yang penting, anda harus bijak merancang perjalanan.


Pengarang :