RENCANASELANGOR

Mengata dulang paku serpih, mengata Selangor tapi Pahang lagi lebih

OLEH NAEEM RAFFI

Rakyat Pahang lebih memerlukan bantuan dan kepedulian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu bekalan air bersih.

Ini kerana, krisis bekalan air yang melanda negeri itu lebih jelas untuk digambarkan sebagai ‘krisis’ berbanding gangguan bekalan air yang berlaku, di Selangor, baru-baru ini.

Lihat sahaja perkembangan rakyat Pahang dari Kampung Alor Batu, Jabor dekat Kuantan. Khabarnya, bukan sehari dua masalah gangguan bekalan air di kampung itu tetapi berlarutan bertahun lamanya.

Penduduk mendakwa, bekalan air kerap terputus dan keadaan itu semakin kritikal kebelakangan ini apabila boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku gangguan hingga aktiviti seharian mereka terganggu.

Lebih mengecewakan, dalam situasi sukar itu, penduduk terbabit terpaksa membayar bil mencecah RM70 hingga RM80 sebulan, berbanding kadar semasa beberapa tahun lalu, di bawah RM20.

Ini pula kisahnya di Kampung Bukit Nikmat di Jerantut. Penduduk mengambil inisiatif membuat tangki, membeli tong dan menyediakan besen menyimpan bekalan air bersih, sejak dua tahun lalu.

Usaha itu dilakukan berikutan masalah air dihadapi penduduk kira-kira lima tahun lalu yang didakwa berpunca daripada masalah paip yang kerap pecah.

Cubaan Najib jadi ‘hero’

Sebelum ini, Najib sedaya upaya menggambarkan gangguan bekalan air di Lembah Klang sebagai krisis ‘maha dahsyat’ sekali gus cuba memujuk rakyat Selangor kembali kepangkuan Umno-Barisan Nasional (Umno-BN) jika mahu terselamat daripada musibah itu, pada masa depan.

“Saya dah dapat laporan berhubung kisah pentadbiran air, di Selangor ini. Apa cara untuk selesaikan (masalah ini), tukar dan tawan semula Kerajaan Selangor, saya janji masalah air selesai,” kata Najib dengan bangganya.

Penulis lihat, agak sukar untuk Najib menjadi ‘hero’ di hati rakyat Selangor yang kini semakin matang menilai ‘mana kaca, mana permata’.

Namun, perjalanan Najib menjadi ‘hero’ dilihat lebih mudah di Pahang kerana negeri itu adalah milik Umno-BN (itu pun jika mereka ikhlas mahu bantu rakyat, di sana).

Maka, penulis tujukan pepatah melayu ini buat Najib, ‘Mengata dulang paku serpih, mengata Selangor tapi Pahang lagi lebih’.

Jauhi fitnah, fahami cerita sebenar

Hakikatnya, gangguan bekalan air di 427 kawasan sekitar Lembah Klang bukan salah Kerajaan Selangor, sebaliknya ekoran urusan penstrukturan industri air membabitkan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) belum dimuktamadkan.

Kisah ini bermula seawal 26 Januari lalu lagi apabila Air Selangor mendapati produktiviti bekalan air dikeluarkan SPLASH mengalami penyusutan.

Bagaimanapun, Air Selangor tidak boleh menjalankan siasatan sebaliknya atas rasa tanggungjawab agensi itu meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan.

Hasilnya, terdapat pam yang perlu dinaiktaraf, namun ia perlu diselenggara mengikut garis panduan iaitu loji tidak boleh ditutup seminggu sebelum atau selepas mana-mana perayaan dan ketika itu adalah Tahun Baru Cina.

Atas keperluan dan meneliti semua aspek, Air Selangor mengeluarkan notis gangguan bekalan, bermula 6 Mac lalu.

Namun, selepas siap, berlaku pula letupan di tapak kerja pembaikan yang turut menyebabkan kecederaan pada lima petugas loji.

“Kita tidak mahu kemalangan ini berlaku. Jadi, saya harap semua pihak sabar dan tabah.

“Suasana fitnah ini biasa berlaku apabila dekat dengan pilihan raya. Terutama, ada pihak yang tidak senang dan cemburu dengan kejayaan kita,” kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

#Naeem Raffi adalah Penolong Pengarang SelangorKini dan rencana ini adalah pandangan peribadi penulis tidak membabitkan SelangorKini


Pengarang :