SUKANKINI

Moto3: Petronas Sprinta Racing sedia mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 MAC: Pelumba Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki, bersedia memberikan cabaran dalam Moto3, pada pusingan pembukaan Kejohanan Dunia MotoGP, di Litar Antarbangsa Losail, Qatar, hujung minggu ini.

Dengan persiapan dilakukan, kedua pelumba berkeyakinan tinggi mampu bersaing dan fokus mencapai keputusan terbaik dalam perlumbaan berkenaan.

Memasuki tahun ketiga dalam Moto3, Adam, 19, mendedahkan beliau akan menggunakan segala pengalaman dimiliki bagi membuktikan keupayaan ketika bersaing dengan pelumba lain.

“Persediaan rapi dibuat pada pra musim dan memberi tumpuan terhadap pelumbaan ini dan sangat penting mencapai keputusan baik untuk meningkatkan keyakinan menempuh perlumbaan seterusnya.

“Saya gembira dengan hasil prestasi jentera dan usaha pasukan serta kini fokus sepenuhnya bagi melakukan yang terbaik dalam perlumbaan ini,” kata pelumba negara itu dipetik http://www.sicracingteam.com

Selepas mengharungi tahun pertama Moto3 musim lalu, Juara Red Bull Rookie, Ayumu Sasaki mengakui persiapan dilakukan pasukan, akan memberikan kekuatan fizikal dan mental kepada mereka untuk kembali lebih mantap kali ini.

“Untuk musim ini, harapan saya lebih tinggi dan sasaran kita ialah menaiki podium dan yakin akan kemampuan walaupun ia tidak mudah.

“Saya akan gunakan pengalaman yang ada dan saya kira keadaan litar bersesuaian dengan gaya tunggangan saya serta yakin mempunyai kelebihan,” kata pelumba Jepun itu..

Perlumbaan MotoGP Qatar akan berlangsung di Litar Antarbangsa Losail, pada 16 hingga 18 Mac ini dan ia perlumbaan pembukaan daripada 19 perlumbaan tersenarai.


Pengarang :