PBTSELANGOR

MPAJ iktiraf warga kerja cemerlang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Seramai 65 warga kerja Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diraikan pada Malam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, 59 warga kerja MPAJ turut diberi pengiktirafan atas khidmat bakti dan sumbangan sepanjang 25 tahun perkhidmatan bersama MPAJ.

“Sebenarnya, lebih ramai warga kerja MPAJ yang layak dicalonkan dan dikategorikan sebagai cemerlang kerana warga kerja majlis sentiasa komited, proaktif, inovatif dan sentiasa berusaha memberikan khidmat melangkaui ekspektasi.

“Walaubagaimanapun, kuota yang telah ditetapkan pada tahun ini hanya 65 orang penerima anugerah sahaja.

“Komitmen ini dapat dizahirkan melalui prinsip-prinsip yang ditetapkan menerusi Pelan Strategik MPAJ 2016-2020.

“MPAJ sebagai PBT di bawah Kerajaan Negeri Selangor tidak terkecuali dari bergerak seiring bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bagi mencapai aspirasi Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ 2017 di Hotel Flamingo, Ampang malam tadi.

Dalam perkembangan sama, tiga kakitangan MPAJ turut menerima Anugerah Khas Pemandu, Kepujian dan Sukan serta pesara MPAJ, melibatkan dua kakitangannya.

Abdul Hamid berkata, penganugerahan itu diharap dapat menjadi sumbang saran kepada warga kerja MPAJ untuk terus menjalankan tanggungjawab dengan lebih efisien dan berkesan.

“Penganugerahan ini diadakan sebagai pengiktirafan kepada warga MPAJ supaya lebih berusaha gigih bagi memberi perkhidmatan terbaik.

“Diharap ia juga akan menjadi penghargaan kepada warga kerja yang begitu setia bersama MPAJ menyemai bakti kepada masyarakat Ampang Jaya bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan masyarakat terjamin,” katanya.

Terdahulu, majlis turut menyaksikan Dato’ Menteri Besar diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron menyampaikan anugerah kepada penerima.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, (Pengurusan), Dato’ Mazalan Md Noor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

=EZY=


Pengarang :