SELANGOR

MPAJ komited laksana kempen Earth Hour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terus komited menjayakan kempen Earth Hour 2018 di Melawati Mall, Taman Melawati pada 24 Mac lalu.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, program kali ke empat itu merupakan simbolik MPAJ serius serta menyokong usaha isu pemanasan bumi, penjimatan tenaga dan alam sekitar.

“Ia bertujuan mengingati Hari Earth Hour Dunia disambut pada setiap tahun selain membantu mengurangkan masalah perubahan iklim di dunia dan pembaziran tenaga.

“Pelbagai usaha dilakukan MPAJ ke arah bandar rendah karbon antaranya penukaran lampu jalan LED, hari tanpa kenderaan, kempen bebas plastik, kempen kitar semula, tanam pokok dan baja kompos,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, MPAJ komited melaksanakan bandar rendah karbon dengan melaksanakan perkhidmatan Bas Percuma Smart Selangor, penambahbaikan laluan basikal dan penjalan kaki, program penjimatan elektrik dan air.

Abd Hamid berkata, antara objektif lain penganjuran Kempen Sambutan Earth Hour MPAJ 2018 adalah memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak dan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya pemuliharaan alam sekitar dalam kehidupan seharian.

Sementara itu, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti sampingan seperti Kraftangan Quilling Earth Hour, mencari harta karun, mencerap bintang dan ceramah penjimatan elektrik sepanjang kempen berlangsung.

Pada masa sama,kempen tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Belia Dan Masyarakat MPAJ, Melawati Mall dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).


Pengarang :