PBTSELANGOR

MPAJ laksana operasi kutipan kereta buruk

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 31 MAC: Operasi kutipan kereta buruk terbiar di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) giat dilaksanakan dalam usaha memastikan masalah kereta terbiar, diselesaikan.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, kereta yang ditinggalkan di pinggir jalan, tanpa pemilik dan cukai jalan sah akan diberi amaran dan notis.

Beliau berkata, sekiranya tiada tindakan lanjut daripada pemilik untuk mengalihkan kenderaan mereka, tindakan sitaan akan dibuat.

“Dalam tempoh 14 hari selepas notis dikeluarkan sekiranya pemilik gagal mengalihkan kenderaan mereka, MPAJ akan menarik kenderaan itu dan diletakkan di depo pengumpulan kenderaan.

“Kita ada dua depo iaitu di Taman Melawati dan Pandan Indah, namun oleh kerana jumlah kenderaan di depo agak tinggi, kutipan akan dibuat berdasarkan kekosongan simpanan depo,” katanya.

Katanya lagi, MPAJ juga akan mengadakan proses pelupusan dalam tempoh tiga bulan selepas simpanan depo dibuat.

“Aktivit pelupusan dibuat selepas proses pengiklanan di surat khabar dibuat, pemilik tidak datang membuat tuntutan dan tiada rekod daripada pihak polis, kita akan melaksanakan kerja-kerja pelupusan.

“Pelupusan dibuat melalui tender sebut harga kepada syarikat berkelayakan yang menjalankan operasi pembelian besi buruk untuk melupuskan kenderaan itu,” katanya.

Untuk rekod, 200 kenderaan boleh dimuatkan di depo simpanan pada satu-satu masa.

=EZY=


Pengarang :