PBTSELANGOR

MPAJ puas hati prestasi KDEBWM, respon positif komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Prestasi KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menguruskan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berada pada tahap terbaik.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, maklum balas positif direkodkan berdasarkan penurunan aduan komuniti membabitkan pengurusan sisa pepejal di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Maklum balas yang diterima menunjukkan pencapaian KDEBWM amat baik dan rata-rata penduduk memberikan komen yang positif dan menyatakan sistem pelupusan sampah MPAJ lebih baik.

“Keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor merupakan keputusan yang tepat dan menjadikan MPAJ kini lebih bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ 2017 di Hotel Flamingo, Ampang malam tadi.

Terdahulu, MPAJ menyerahkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada KDEB Waste Management berkuatkuasa, Mac 2017 lalu.

Pada 1 Disember lalu juga, KDEB Waste Management juga mengambilalih kerja-kerja pembersihan awam MPAJ sepenuhnya.

Terdahulu, KDEB Waste Management dilapor akan melebarkan operasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di enam PBT negeri.

Ia sebagai komitmen berterusan KDEB Waste Management memastikan pengusan sisa pepejal negeri diurus secara lebih berkesan.

=EZY=


Pengarang :