SELANGOR

MPK proatif tangani denggi, 28,308 premis diperiksa

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 30 MAC: Sejumlah 28,308 premis diperiksa serta 124,383 kawasan disembur kabus atau ‘fogging’ setakat ini sebagai usaha mengurangkan kes demam denggi di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) setakat ini, kes demam denggi mencatatkan 1,729 kes bagi tempoh Januari hingga Mac ini.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) setiap minggu bagi melaksanakan inisiatif cari dan musnah (search and destroy).

“Sembilan lokaliti hotspot dikenal pasti antaranya Jalan Kebun Nenas, Apartmen Bayu Villa, Taman Sentosa, Taman Sri Menegun, Taman Sentosa Kapar, Jalan Hamzah Alang dan Taman Orkid, serta Jalan Sementa,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, Mohd Yasid berkata jumlah kes demam denggi itu belum merekodkan sebarang kematian.

Katanya, jumlah terbabit juga lebih rendah berbanding tahun lepas bagi tempoh yang sama.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari 2018 mencatatkan 494 kes, 2017 (607 kes) dan 2016 (1,074 kes).

Manakala, bulan Februari 2018 (659 kes), 2017 (512 kes) dan 2016 (877 kes) serta Mac 2018 (576 kes), 2017 (767) dan 2016 (805 kes).

Terdahulu, MPK melancarkan kenderaan promosi ‘Gempur Aedes’ bagi tujuan promosi dan hebahan kepada penduduk sekitar.

Kenderaan Perodua Bezza model Premium X terbabit dilengkapi sistem siaraya dan berinformasi bagi menguar-uarkan kepentingan mencegah Aedes yang digerakkan di seluruh Klang khususnya kawasan perumahan.


Pengarang :