SELANGOR

MPSJ anjur Pertandingan Video ‘Kitar Semula Bermula Dari Rumah’

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Pertandingan Video ‘Kitar Semula Bermula Dari Rumah’ pada 1 April hingga 31 Mei ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pertandingan itu diadakan selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar sebagai satu tanggungjawab individu bermula dari rumah.

“Karya dihasilkan perlulah hasil kerja asal peserta yang mengandungi nilai-nilai murni dan tidak mengandungi unsur-unsur sensitiviti seperti perkauman, kebudayaan, keagamaan dan politik.

“Pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada video yang dapat menyampaikan mesej dengan tepat,” katanya dalam kenyataan.

Pertandingan dibuka secara percuma kepada semua warga berusia 12 tahun ke atas dan merupakan penduduk MPSJ.

“Setiap peserta dihadkan menghantar satu penyertaan sahaja berdurasi tidak melebihi tempoh tiga minit mengenai tatacara mengitar semula bahan dari dapur atau rumah.

“Justeru, MPSJ menyeru semua komunitinya untuk turut serta dan menangi ganjaran wang tunai serta sijil penghargaan,” tambahnya lagi.

Penyertaan yang lengkap hendaklah di kemukakan melalui aplikasi whatsapp kepada urusetia pertandingan di 011-36861267 dan kemukakan fail dalam bentuk CD.


Pengarang :