SELANGOR

MPSJ bantu SYABAS bekal air bersih

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif memberikan bantuan bekalan air di lima kawasan sekitar pentadbirannya, hari ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, operasi itu merupakan inisiatif MPSJ mengagihkan air bersih kepada penduduk serta membantu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyampaikan bekalan air kepada penduduk dengan kadar segera.

“Kami memahami kesukaran dihadapi penduduk yang terputus bekalan air akibat kerja pembaikan di Loji Rawatan Air (SSP3).

“Operasi memasuki hari kedua ini menumpukan kawasan perumahan bertingkat dan beberapa lori air seliaan MPSJ serta Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) turut digerakkan ke kawasan masung-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azfarizal berkata, antara kawasan terlibat adalah Pangsapuri SS19 , Subang Jaya; Pangsapuri Sri Enggang, BK 6, Bandar Kinrara; Pangsapuri Sri Kayan, Pinggiran Subang; Pangsapuri Cempaka, Bandar Puchong Jaya dan Pangsapuri Sri Tanjung, Bandar Puchong Jaya.

“Operasi hari ini diketuai Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Zulkurnain Che Ali, bersama 17 anggota PANTAS MPSJ, lima kakitangan Jabatan MPSJ serta 2 wakil MDKS.

Terdahulu, pada hari pertama operasi, MPSJ turut mengagihkan bekalan air bersih di Masjid SS15 serta Masjid SS19, Subang Jaya bertujuan memudahkan ibadah Solat Jumaat.

Selain itu, MPSJ turut membuat pengagihan air di beberapa kawasan perumahan iaitu SS17, SS18, Taman Kinrara 5, Jalan Merak Taman Kinrara dan Pangsapuri Sri Enggang.

Azfarizal berkata, diharapkan usaha MPSJ itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk dalam urusan seharian mereka.


Pengarang :