Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ ke arah bandar mesra wanita pertama di Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 29 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan dan pembangunan bagi mencapai sasaran sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menjadi bandar mesra wanita pertama di Malaysia.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, hal itu merangkumi penyediaan kemudahan kepada persekitaran yang peka terhadap aspek keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perniagaan.

Katanya, ia sebagai usaha memperkasakan dan memperjuangkan
nasib dan hak wanita di Selangor.

“MPSJ menetapkan indikator dalam menyediakan kemudahan dan capaian wanita ke arah ‘Women Friendly Cities’.

“Ia selaras dengan saranan Kerajaan Negeri mencadangkan MPSJ sebagai PBT pertama melaksanakannya,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MPSJ, di sini.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Kebajikan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi mencadangkan Subang Jaya dicalonkan sebagai sebuah bandar mesra wanita di Selangor dan yang pertama di Malaysia.

Perkara itu dihasratkan beliau ketika Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Negeri Selangor 2018 ‘Press For Progress’ di Hotel Concorde, baru-baru ini.

Daroyah berkata, ia merupakan pendekatan utama dasar wanita Selangor, kita mahu angkat bandar mesra wanita maksudnya adalah bandar pintar, mempunyai aplikasi khas untuk memudahkan golongan wanita.

=EZY=


Pengarang :