PBTSELANGOR

MPSJ wujud J3P pastikan tadbir urus berkesan penjaja

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 29 MAC: Dalam usaha memastikan tadbir urus berkesan di kalangan penjaja, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras dan Penggerak (J3P).

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, J3P ditubuhkan untuk memberi pengawalan lebih berkesan di Pasar Malam dan Pasar Pagi di kawasan seliaan MPSJ.

Katanya, usaha itu adalah selari dengan kehendak Local Agenda 21 dengan penglibatan dan penyertaan masyarakat penting dalam perancangan pengurusan dan pembanguan majlis.

“Perlantikan J3P adalah di kalangan penjaja itu sendiri supaya peniaga boleh mengatur perjalanan perniagaan itu mengikut acuan dirasakan sesuai.

“Perlantikan di kalangan penjaja juga adalah pengiktirafan kepada peniaga untuk mengurus sendiri kawasan mereka disamping mendapat pantauan MPSJ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Seminar dan Majlis Penganugerahan J3P di MPSJ, di sini hari ini.

Diantara pengisian modul seminar meliputi taklimat mengenai pengurusan sampah, keperluan kesihatan kepada pengunjung dan penjaja, e-wallet QRPay Maybank dan fungsi serta peranannya.

Noraini berkata melalui penubuhan ini juga J3P dan penjaja dapat membuat penyelesaian melalui rundingan bersama.

“Melalui Inisiatif ini juga MPSJ berjaya menjadikan penjaja sebagai rakan strategik dalam pengurusan kewalan perniagaan dan pembangunan usahawan penjaja kecil khususnya dalam pengurusan pasar malam dan pasar pagi,” katanya.

Dalam majlis sama, turut diadakan pelancaran logo baru J3P serta penganugerahan kepada J3P tahun lalu yang cemerlang dalam perkhidmatan dan kerjasama baik dengan MPSJ.

=EZY=


Pengarang :