SUKANKINI

MyMotor rakan rasmi FMLLP jaya Liga M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MAC: Portal atas talian, MyMotor, menjalin kerjasama dengan Perkongsian Terhad Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) sebagai rakan rasmi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

FMLLP dalam kenyataan memaklumkan, portal bagi penjualan kenderaan itu akan berganding bahu menjayakan empat pertandigan Liga M iaitu unifi Liga Super, 100PLUS Liga Perdana, Shopee PIALA FA dan unifi Piala Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyMotor, Justin Cheah, berkata pihaknya teruja menjadi rakan rasmi bagi pertandingan utama dalam arena bola sepak tempatan.

“Bola sepak adalah sukan yang tiada sempadan di mana semua kaum dan agama akan bersatu untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.

“Dengan lebih 2.5 juta peminat menonton bola sepak samada di stadium, mahupun perlawanan disiarkan di TV3, TV9, unifiTV dan iflix, kita pasti ini adalah salah satu sukan sentiasa menarik perhatian ramai rakyat Malaysia.

“Dengan pengurusan FMLLP kini diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim, MyMotor menyokong sepenuhnya untuk mengubah wajah bola sepak Malaysia dengan pendekatan yang berwawasan ke arah kemajuan,” katanya.

Beliau berkata, MyMotor gembira dapat bekerja rapat dengan FMLLP dalam membawa perubahan positif serta inovasi kepada salah satu daripada sukan kegemaran negara ini.

MyMotor adalah platform atas talian yang menghubungkan pembeli dan penjual kenderaan serta disokong penyedia perkhidmatan e-Kerajaan Malaysia EG Services Berhad (MYEG).

Orang ramai boleh melayari laman sesawangnya di https://www.mymotor.my

 

=EZY=


Pengarang :