NASIONAL

Najib putar belit isu hutang kait isu air di Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertindak memutar belit soalan dengan mengaitkan isu air di Selangor ketika menjawabisu hutang negara membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Najib harus menyelesaikan masalah hutang negara yang lebih besar terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada Selangor.

“Laporan di akhbar News Strait Times (NST) baru-baru ini melaporkan sejak Najib mentadbir negara jumlah pembayaran faedah hutang terus meningkat mencecah, sehingga 12.5 peratus.

“Jika dibandingkan dengan Singapura, republik itu hanya menggunakan enam peratus daripada pendapatannya untuk pembayaran faedah hutang negara.

“Adakah kemelut hutang 1MDB mendatangkan kesan kepada peningkatan jumlah pembayaran faedah hutang atau ada alasan lain yang lebih bertanggungjawab menyebabkan Putrajaya pada hari ini terpaksa membelanjakan 12.5 peratus daripada pendapatan negara hanya untuk membayar faedah hutang negara,” soalnya dalam Sidang Parlimen, pagi tadi.

Bagaimanapun, Najib enggan menjawab persoalan yang diajukan, malahan beliau memutar belit apabila cuba membabitkan isu air, di Selangor.

“Masalah kemelut air lebih kritikal,” kata Najib.

Perkara itu turut disokong Ahli Parlimen Umno-BN yang lain.

Mohamed Azmin membidas perkara itu dan disokong dengan laporan sama menyebut tahun ini Malaysia dijangka membelanjakan 31 bilion untuk membayar faedah hutang dan sudah tentu itu adalah satu jumlah besar sama banyak dengan kutipan Cukai dan Pendapatan.

“Isu hutang negara membabitkan lebih 42 bilion. Isu hutang negara adalah lebih parah dan kritikal berbanding air.

“Jika Ahli Parlimen Umno-BN yakin dengan perdana menteri, maka seharusnya bagi peluang untuk beliau menjawab bukan mencelah dan mengaitkan isu air,” katanya.


Pengarang :