NASIONAL

Negara boleh hancur jika lulus persempadanan baru SPR

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Proses persempadanan baru bagi kawasan Semenanjung Malaysia jika diluluskan di peringkat Dewan Rakyat akan menyebabkan kesejahteraan negara hancur, kata Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia susulan wujudnya ketidakseimbangan kaum dan populasi pentadbiran Persekutuan yang ditunjangi kerajaan yang tidak diiktiraf hasil perolehan undi secara berat sebelah dan tidak adil.

“Mengapa SPR pecahkan perpaduan kaum yang ada pada negara hari ini? Ini sudah melampau, kerana mereka (SPR) ini terlalu mengikut telunjuk parti perkauman, Umno dan Barisan Nasional.

“Justeru Datuk Yang Dipertua (Speaker Dewan), jangan luluskan usul persempadanan laporan SPR ini di Dewan Rakyat.

“Kalau kita membenarkan usul ini diluluskan, negara Malaysia akan hancur di masa akan datang dan rakyat akan berpecah belah.

“Kita tidak mahu sebuah kerajaan yang dilantik dari sistem yang rosak, kerajaan yang akan dibentuk adalah kerajaan yang haram oleh Umno Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan persempadanan semula di Dewan Rakyat, petang ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan pembentangan laporan persempadan semula untuk kawasan pilihanraya di Semenanjung Malaysia, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Ia berlangsung ketika sidang Dewan Rakyat bersambung semula selepas berehat kira-kira 20 minit ekoran kekecohan yang berlaku melibatkan bantahan pimpinan Ahli Parlimen Pembangkang, sebelum itu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, persempadanan baru yang dibuat SPR khususnya di Selangor adalah bersifat tidak adil dan berat sebelah.

Mohamed Azmin turut mengaitkan pepecahan jurang komposisi kaum yang besar antaranya di kawasan Dewan Undangan Negeri Jeram, Seputeh, Bukit Lanjan dan Subang.

=EZY=


Pengarang :