SUKANKINI

Oscar: Janji tak miskin di hari tua

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 MAC: Pemain Brazil yang beraksi dalam Liga China, Oscar lebih memikirkan usaha mengumpul wang demi masa depan berbanding memperoleh tpeluang beraksi dalam Piala Dunia Russia 2018 bersama skuad Brazil.

Walaupun dikritik hebat termasuk Pengurus Brazil, Tite yang menyifatkan prestasi bekas pemain Chelsea itu merosot sejak ke China, beliau tidak mengendahkannya dan lebih memikirkan nasib keluarga.

“Saya tak kisah pun sama ada saya akan pergi ke Piala Dunia ataupun tidak. Saya dikritik kerana saya membuat keputusan datang ke China.

“Secara peribadinya, keputusan saya dibuat untuk keluarga dan masa depan saya. Saya tak nak hidup miskin apabila saya tua nanti dan hanya hidup dengan memori bermain di Piala Dunia,” katanya.

Sebelum ini, Tite antara individu yang tidak bersetuju dengan keputusan Oscar berpindah ke kelab China, Shanghai SIPG dan memberi gambaran sukar untuk menyenaraikan beliau dalam skuad ke Piala Dunia.

Oscar sebelum ini dipanggil sebanyak dua kali tetapi beliau gagal mencapai tahap yang dimahukan Tite.

Selain Oscar, antara pemain Brazil yang pernah berkelana di China adalah Paulinho. Beliau yang kini beraksi bersama Barcelona sebelum ini bermain hampir dua tahun bersama GZ Evergrande.

Jika diperhalusi secara lebih mendalam, tidak banyak bekas pemain bola sepak berpeluang meneruskan karier dalam sukan ini terutama bidang kejurulatihan selain menjadi pengulas sukan jemputan di beberapa stesen televisyen.

Foto Kredit: AFP


Pengarang :