NASIONAL

PAC syor kenaikan had tunggakan cukai sebelum disekat ke luar negara

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula had tunggakan cukai supaya dinaikkan kepada RM10,000 bagi individu dan RM50,000 kepada syarikat sebelum melakukan tindakan sekatan ke luar negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata syor itu dikemukan selepas mendengar penjelasan yang dikemukakan dalam mesyuarat prosiding Pengurusan Sekatan Perjalanan Ke Luar Negara di bawah Kementerian Kewangan (MoF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“PAC Parlimen secara umumnya berpuas hati dengan pengurusan sekatan perjalanan ke luar negara oleh LHDN.

“Namun, PAC berpendapat had tunggakan cukai tidak kurang daripada RM2,000 untuk individu bagi tujuan sekatan perjalanan ke luar negara yang dilaksanakan LHDN adalah kurang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Katanya, LHDN perlu memastikan notis tunggakan cukai disampaikan kepada individu atau syarikat mengikut undang-undang seperti yang diamalkan Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA) sebelum mengenakan sekatan.

“LHDN perlu menaik taraf sistem penyampaian dengan menggunakan teknologi baru seperti sistem pesanan ringkas (SMS), Whatsapp atau emel dalam menyampaikan notis peringatan tunggakan cukai atau sekatan perjalanan ke luar negara.

“LHDN dan Jabatan Imigresen juga perlu memastikan pangkalan data sentiasa dikemaskini supaya tidak berlaku kes tunggakan cukai sudah dijelaskan tetapi pembayar masih mengalami masalah semasa hendak ke luar negara,” katanya.

Dua agensi itu dipanggil memberikan penjelasan susulan penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 November 2016.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang diwakili Timbalannya, Datuk Siti Zauyah Md Desa dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah turut dipanggil ketika mesyuarat prosiding yang berlangsung pada 27 Mac 2017.

=EZY=


Pengarang :