NASIONAL

PAKATAN ada strategi hadapi saingan tiga penjuru

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mempunyai strategi tersendiri andai terpaksa berhadapan saingan tiga penjuru di beberapa kawasan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Sekreteriat PAKATAN, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, berdasarkan keadaan semasa mungkin itu realiti yang perlu dihadapi dalam landskap politik negara.

“Kemungkinan rasanya banyak (pertembungan) tiga penjuru antara Pakatan Harapan-Barisan Nasional-PAS.

“Saya tidak boleh beritahu banyak kerana ia membabitkan strategi kita,” katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan penonton pada Siri Forum Demokrasi: Memerangi Budaya Takut Dalam PRU-14 di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE) semalam, beliau berkata, segalanya terserah kepada pengundi untuk memilih walaupun ramai akan bertanding.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya berharap peratusan rakyat akan keluar mengundi, pada PRU14 meningkat sehingga 90 peratus bagi melakukan perubahan.

Namun, berdasarkan mood semasa kecenderungan itu sukar dilihat berbanding PRU13.

Menyentuh soal budaya takut yang dibincangkan, Maria berkata, perkara itu sudah berlarutan sejak sekian lama termasuk ketika Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan kali pertama, pada 2010.

“Apabila terbabit dengan Bersih, saya masih ingat pada 2010 kita menganjurkan Perhimpunan Bersih 2.0.

“Kta dapat serangan daripada kerajaan menerusi media. Kita dikatakan anti-Islam, nak tumbangkan kerajaan. Setiap hari kita perlu jawab tuduhan,” katanya.

 


Pengarang :