NASIONAL

PAKATAN laksana manifesto negeri ikut kesesuaian

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) ditawarkan untuk Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan dipraktikkan di peringkat negeri berdasarkan kesesuaian sesebuah negeri itu.

Ketua Sekretariat PAKATAN, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sememangnya manifesto dikemukakan selain akan dilaksanakan di peringkat pusat apabila mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-Barisan Naional (BN) tetapi juga boleh dilakukan di peringkat negeri diterajui gabungan itu.

Bagaimanpun, katanya, ia berdasarkan kesesuaian kerana pelaksanaannya di peringkat negeri tentu berbeza antara satu negeri dengan yang lain.

“Ia boleh dilaksanakan di peringkat negeri selepas PRU nanti mengikut keperluan kerana tentunya apa diperlukan di Selangor berbeza dengan negeri lain dan sebaliknya. Kita akan melihat perkara itu.

“Untuk PRU akan datang ini, PAKATAN di beberapa negeri telah mengemukakan manifestonya seperti Negeri Sembilan termasuk Sabah dan Sarawak pada September tahun lalu. Negeri lain akan menyusul selepas ini,” katanya dalam sidang media di pejabat Ketua Pembangkang Parlimen di sini, hari ini.

PAKATAN akan melancarkan manifesto bagi PRU14, esok dengan lima teras utama untuk membela kehidupan rakyat yang terbeban ekoran pentadbiran diterajui Umno-BN yang terpalit skandal dan masalah.

Antara lima teras digariskan dalam manifesto itu ialah :

– Meringankan beban kehidupan rakyat.

– Mereformasikan institusi pentadbiran dan politik.

– Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

– Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berpandukan perjanjian Malaysia 1963.

– Membina Malaysia lebih inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.


Pengarang :