BERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN persoal tindakan Speaker tak izin kaji laporan persempadanan semula

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mempersoalkan tindakan Yang Dipetua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tidak membenarkan Ahli Parlimen mengkaji laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sewajarnya Ahli Parlimen diberi hak dan peluang bagi mengkaji laporan itu untuk tujuan perbahasan sebelum ia dibentangkan pada 28 Mac ini.

“Ia satu peraturan baharu yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parlimen akan dibubarkan selepas persempadanan semula ini diluluskan maka penting bagi kita untuk mendapat hak dan ruang meneliti laporan ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ketua Pembangkang itu berkata, tindakan mengedarkan laporan itu tetapi tidak membenarkan ia dibaca untuk dikaji, menjadi persoalan kerana Ahli Parlimen memerlukan tempoh masa untuk tujuan berkenaan supaya ia boleh dibahaskan apabila pembentangan dilakukan kelak.

Katanya, sebelum ini juga terdapat lebih kurang 900 bantahan terhadap laporan persempadanan semula ini maka Ahli Parlimen memerlukan tempoh waktu bagi mengkajinya.

“Ia menjadi persoalan kerana Tan Sri Speaker tidak membenarkan kita membuka dan membacanya. Saya kesal akan perkara ini.

“Kita menolak peraturan tidak boleh diteliti laporan disediakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) ini dan sebelumnya juga berkaitan undi pos apabila dibangkitkan tetapi tidak dijawab berapa banyak jumlahnya dan siapa boleh mendaftar sejak 19 Februari lalu,” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, sepatutnya Dewan Rakyat menjadi medan perbahasan adil bagi semua wakil rakyat dan PAKATAN menolak peraturan ditetapkan Pandikar Amin Mulia itu.

Ahli Parlimen PAKATAN mendakwa tindakan dibuat akan menghadkan peluang mereka untuk berbahas dan memberi kelebihan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) apabila laporan itu dibentangkan pada 28 Mac ini.

Sebelum itu, Pandikar Amin Mulia memaklumkan laporan bagi kajian persempadanan semula bagi kawasan pilihan raya telah diedarkan kepada semua Ahli Parlimen hari ini dan akan dibentangkan pada Rabu ini.

Sebelum laporan itu dibentangkan, beliau berkata, semua dokumen itu adalah embargo dan Ahli Parlimen dilarang membawa keluar, membocor dan menyiarkannya.

=EZY=


Pengarang :