NASIONAL

PAKATAN tidak akan guna strategi takutkan rakyat dalam PRU-14

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak akan menggunakan strategi menakutkan rakyat untuk meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Sekreteriat Pakatan Harapan, Dato’ Saifuddin Abdullah mendakwa budaya menakut-nakutkan rakyat yang ada telah disemai dan dimanipulasi Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama.

“Kita tidak akan menggunakan strategi menakutkan pengundi atau rakyat.

“Kita hanya akan guna istilah ‘takut’ yang sah sahaja seperti takut rasuah berleluasa, takutkan kezaliman dan takut kepada pimpinan kleptokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Siri Forum Demokrasi: Memerangi Budaya Takut Dalam PRU-14 di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE), semalam.

Menurutnya, jika budaya takut menebal, ia boleh mengakibatkan rakyat hilang fokus hingga terlupa perkara besar termasuk membawa perubahan kepada negara.

Katanya, pengundi Melayu beragama Islam sering dikaitkan dalam menentukan keputusan pilihan raya berbanding kumpulan bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

“Bagi BN, dia tak kisah sangat dapat undi dari bukan Melayu tetapi yang penting meraka akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin undi dan menang kawasan majoriti Melayu.

“Pakatan Harapan pula kena pertahankan undi sedia ada termasuk dari bukan Melayu selain mesti mendapatkan undi Melayu di kawasan Felda dan luar bandar,” katanya.


Pengarang :