NASIONAL

PAKATAN umum manifesto PRU14 esok

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan melancarkan manifesto untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14 (PRU14), esok.

Ketua Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata manifesto berpaksikan rakyat itu mengandungi lima teras utama untuk dilaksanakan selepas PAKATAN mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-Barisan Nasional (BN) selepas PRU14 nanti.

“Manifesto PAKATAN ini melalui proses perbincangan panjang demi memenuhi keperluan rakyat dan mengandungi 60 janji untuk dilaksanakan dalam tempuh lima tahun.

“Falsafah manifesto ini adalah jelas iaitu menegakkan perlembagaan, Rukun Negara, agenda reformasi serta termasuk pendekatan Maqasid al-Syariah, urus tadbir baik dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen di sini, hari ini.

Jawatankuasa manifesto PAKATAN terdiri daripada Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin; Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Strategi Pilihanraya DAP, Ong Kian Ming; Pengerusi Biro Strategi dan Polisi PPBM, Datuk Dr Rais Hussin dan Saifuddin.

Antara lima teras digariskan PAKATAN dalam manifesto itu ialah –

– Meringankan beban kehidupan rakyat

– Mereformasikan institusi pentadbiran dan politik

– Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama

– Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berpandukan perjanjian Malaysia 1963

– Membina Malaysia lebih inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia

Beliau berkata, manifesto itu adalah mengambil semangat dan kesinambungan daripada Buku Jingga dikemukakan pada PRU13 serta melalui proses penambahbaikan untuk PRU 14 bersesuaian dengan situasi masa kini.

“Manifesto ini mengandungi 201 muka surat merangkumi segala aspek dengan PAKATAN menekankan pembinaan semula dan memandu program pembangunan negara dengan memberikan manfaat kepada rakyat berbanding apa dilakukan Umno-BN ketika ini.

“Ia mengandungi 60 janji di mana 10 daripadanya akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas mengambillaih pentadbiran negara daripada Umno-BN,” katanya.

Saifuddin turut menjelaskan, PAKATAN akan mengumumkan manifesto itu berserta temanya, esok.

=EZY=


Pengarang :