GLOBAL

Paris timbang tawar pengangkutan awam percuma

PARIS 21 MAC: Datuk Bandar Paris menimbang untuk menjadikan semua pengangkutan awam di ibu kota itu percuma dalam usaha mengurangkan pencemaran udara.

Namun, rancangan itu mendapat kritikan hebat ketua pihak berkuasa pengangkutan wilayah yang mengatakan tindakan terbabit akan membebankan pembayar cukai.

Datuk Bandar Sosialis, Anne Hidalgo, mengumumkan rancangan kajian kebolehlaksanaan pengangkutan percuma bandar ini lewat semalam dan memaklumkan akhbar harian Perancis, Les Echos, beliau mahu berdebat isu itu sebelum pilihan raya perbandaran pada 2020.

Hidalgo berkata, semua bandar besar dunia cuba membangunkan pengangkutan bersih dan meningkatkan kualiti udara dengan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, matlamat menjadikan pengangkutan awam lebih menarik.

“Untuk memperbaiki pengangkutan awam, kita bukan saja perlu menjadikannya lebih meluas, kerap dan selesa, namun turut memikirkan semula sistem tambang,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, ahli politik konservatif, Valerie Pecresse merangkap ketua wilayah Ile-de-France di sekitar ibu kota ini dan presiden pihak berkuasa pengangkutan kawasan (IDFM) menolak cadangan Hidalgo, mengatakan jika pengguna tidak membayar maka pembayar cukai perlu menampungnya.

“Keutamaan kita hari ini ialah memodenkan pengangkutan. Jualan tiket membawa hasil tiga bilion euro (RM14.42 bilion) setahun dan kita memerlukan wang itu,” kata Pecresse kepada Radio Classique.

Pecresse yang mungkin mencabar Hidalgo dalam undian Datuk Bandar pada 2020 berkata, pengangkutan percuma kepada penduduk ibu kota ini sahaja tidak adil kerana tidak dapat dinikmati penduduk pinggir bandar.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :