NASIONAL

Parlimen Switzerland bakal bahas isu pemulangan dana berkaitan 1MDB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 MAC: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan perbahasan usul bagi pemulangan dana haram berjumlah CHF104 juta (RM428 juta) berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang dirampas Kerajaan Switzerland.

Dalam kenyataan beliau berkata, Parlimen Switzerland akan membahaskan usul yang dikemukakan Carlo Sommaruga, Ahli Parlimen daripada Parti Sosial Demokrat Switzerland pada 15 Mac 2018.

Menurutnya, usul tersebut bermaksud menggesa Kerajaan Switzerland memulangkan dana haram 1MDB yang dirampas dikembalikan kepada pihak mangsa negara asal, iaitu rakyat Malaysia.

“Selaku Ketua Pembangkang, saya mengalu-alukan usul ini dan ia mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen Switzerland.

“Saya telah menulis kepada kesemua 200 Ahli-ahli Parlimen Switzerland bagi mempertimbangkan hasrat supaya pemulangan dana itu disempurnakan menerusi prosedur guaman bersama kepada Kerajaan Malaysia yang kompeten, yang tidak tercemar dengan amalan rasuah dan kleptokrasi.

“Saya amat mengalu-alukan langkah Parlimen Switzerland membenarkan usul bagi mengembalikan wang rampasan 1MDB itu ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Memetik laporan media tempatan, Kerajaan Switzerland dilaporkan mahu menuntut CHF95 juta (RM400 juta) wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank.

Menurut akhbar Tages Anzeige yang berpangkalan di Zurich, kerajaan Switzerland dibenarkan untuk menuntut keuntungan yang dijana secara haram.

Akhbar itu juga memetik Menteri Kewangan, Ueli Maurer sebagai berkata, bahawa dana berkenaan telah disalurkan ke perbendaharaan persekutuan memandangkan tidak ada pihak yang menuntutnya.

=EZY=


Pengarang :