PBTSELANGOR

Pasar Bunga, Pameran Anggerik Shah Alam 2018 bermula hari ini

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 8 MAC: Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 bermula hari ini hingga 11 Mac (Ahad), bertempat di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, ia bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Pasar bunga ini melibatkan penyertaan lapan penggerai yang menjual pelbagai jenis pokok-pokok Anggerik, hasil-hasil kebun seperti sayur-sayuran (bayam, cili, jagung,kobis, roselle,limau, dan terung), kompos, baja organik dan pasu-pasu.

“Pihak Majlis juga akan mengadakan Program Bengkel Anggerik pada Ahad dengan penyertaan boleh dilakukan secara ‘walk in’ manakala bayaran masuk RM10 kepada pengunjung yang berminat mengenai penjagaan orkid dan pembiakannya,” katanya.

Shahrin berkata, terdapat juga pengisian aktiviti lain sepanjang program itu seperti Pertandingan Anggerik individu (terbuka kepada Ahli Kelab Anggerik Shah Alam dan Penduduk Shah Alam), Pameran Anggerik, dan Memancing Mini Kanak-Kanak.

“Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2018 adalah komitmen berterusan MBSA mendidik komuniti untuk menghargai suasana hijau dan keindahan lanskap.

“Diharapkan ia dapat menjadi daya tarikan para pelancong khususnya buat peminat-peminat bunga dan tanaman hiasan.

“Melalui program seumpama ini, orang ramai secara tidak langsung dapat mengenali pelbagai jenis bunga mengikut spesis serta menggalakkan sikap cintakan alam sekitar,” katanya.

Program itu adalah platform pihak MBSA untuk memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya untuk menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing.

=EZY=


Pengarang :