NASIONAL

PATI guna Mykad palsu di hospital bukti PRU-14 berisiko sama

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka berhadapan isu penggunaan Mykad palsu oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada alat pengesahan (card reader) akan diberikan di setiap saluran mengundi.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan berkata, perkara ini disahkan sendiri oleh wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu taklimat SPR kepada wakil parti-parti Pakatan Harapan (Pakatan) Wilayah Persekutuan pada 24 Mac lalu.

“Dalam sesi taklimat tersebut, SPR telah memaklumkan bahawa dokumen-dokumen pengesahan identiti yang boleh digunapakai termasuklah MyKad, pasport, laporan polis kehilangan MyKad dan lesen memandu.

“Bagaimanapun apabila ditanya bagaimana dokumen-dokumen identiti ini boleh disahkan, wakil SPR berkata bahawa tiada sebarang alat pengesahan akan diberikan di setiap saluran mengundi di mana ini adalah sesuatu yang cukup memeranjatkan dan sangat berbahaya,” katanya.

Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

Jelasnya, keadaan sama berlaku di hospital kerajaan yang tidak mempunyai pembaca MyKad untuk mengesahkan (“authenticate”) kad-kad pengenalan tersebut sehingga membolehkan PATI menggunakan Mykad palsu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, SPR perlu merombak semula Piawaian Prosedur Operasi (SOP) dan menjamin penggunaan alat pengesahan Mykad, pasport dan lesen memandu bagi memastikan hanya pemilih yang sah sahaja mengundi.

“Jika tidak, sudah pasti PRU14 bakal menjadi PRU paling kotor dalam sejarah Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Senator Datuk Seri Khairudin Samad memberitahu Dewan Negara, kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit disebabkan aktiviti PATI menggunakan Mykad palsu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

=EZY=


Pengarang :