BERITA UTAMASELANGORWANITA & KEBAJIKAN

PBT digalak bina bandar mesra wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 MAC : Dato’ Bandar, Yang DiPertua Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai Daerah disarankan untuk bersama menerokai ruang dan peluang bagi pembinaan sebuah bandar mesra wanita pertama di Malaysia.

Exco Kesihatan, Kebajikan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, ia adalah bagi mendokong hasrat pembinaan sebuah bandar pintar yang diaspirasikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ia merupakan pendekatan utama dasar wanita Selangor, kita mahu angkat bandar mesra wanita maksudnya adalah bandar pintar, mempunyai aplikasi khas untuk memudahkan golongan wanita.

“Memandangkan Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan ada disini, saya ingin mencadangkan agar Subang Jaya dicalonkan sebagai sebuah bandar mesra wanita di Selangor dan yang pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat Negeri Selangor 2018 ‘Press For Progress’ di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Turut hadir, Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin, Penasihat Institut Wanita Berdaya (IWB), Zuraida Kamaruddin, YDP MPSJ, Noraini Roslan dan Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Antara pengisian majlis, turut diadakan forum bertajuk Wanita Ke Arah Pembangunan Bandar Pintar (Smart City) dan persembahan teater mengenai pembasmian stereotaip gender.

Forum berkenaan membincangkan mengenai gagasan ‘Regional Smart State’ yang diaspirasikan oleh Mohamed Azmin dalam usaha merealisaikan Selangor sebagai negeri pintar terulung di Asean menjelang 2025.

=EZY=


Pengarang :