BERITA UTAMASELANGOR

Pekan Kajang selesai banjir, Pekan Najib apa cerita?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Kerajaan Negeri optimis masalah banjir di Pekan Kajang diselesaikan menerusi dua projek pembangunan penstabilan Tebing Sungai Jeluh dan Projek Menaik Aras Jambatan Sungai Jelok, Pekan Kajang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali secara berseloroh berkata, keadaan sebaliknya berlaku di Pekan Pahang yang masih berdepan masalah banjir sehingga kini.

“Selangor berjaya mengatasi masalah banjir di Kajang berbanding masalah banjir di Pekan Pahang yang sehingga kini masih gagal ditangani sehingga sekarang.

“Itulah, kuman di seberang laut nampak. Tetapi gajah di depan mata tak nampak. Inilah sikap sesetengah pemimpin hari ini,” sindirnya sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini lantang menyerang pentadbiran Selangor.

Untuk rekod, Pekan Pahang merupakan kawasan Parlimen Perdana Menteri yang masih berdepan masalah banjir, terutamanya ketika berlakunya peningkatan taburan hujan di kawasan itu.

Awal Januari lalu menyaksikan peningkatan jumlah mangsa banjir di Pekan Pahang yang menyebabkan lebih 1,000 mangsa terpaksa berpindah selepas tiga sungai di daerah itu dilaporkan berada pada tahap amaran.

Sementara itu, sejak pembaikpulihan tebing Sungai Jeluh dan pembangunan Jambatan Sungai Jelok Pekan Kajang dilaksanakan Kerajaan Negeri, tiada laporan berlakunya banjir di kawasan itu direkodkan sehingga kini.

Perkembangan positif itu dijayakan susulan komitmen Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi tujuan pembangunan projek itu pada 2014 lalu.

Terdahulu, Mohamed Azmin bersama pimpinan Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turun padang meninjau keberkesanan pelaksaan kedua-dua projek berkenaan.

=EZY=


Pengarang :