SELANGOR

Pelaburan: Selangor proatif bukan pasif

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Selangor terus mendepani cabaran global sekali gus proaktif melaksanakan pelbagai pelan dasar, induk, serta tindakan ke arah merealisasikan hasrat menjadi hab perdagangan global.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, dalam perkembangan serantau dan global, inisiatif ‘One Belt One Road’ adalah keperluan yang tidak boleh diabaikan.

“Bagi menghadapi gelombang baru, Selangor memilih untuk menjadi proaktif, bukan pasif yang hanya menunggu gelombang baru ini. Oleh itu, kita melaksanakan pelbagai dasar, pelan induk, tindakan dan inisiatif mendepani cabaran ini.

“Untuk merealisasikan hasrat sebagai hab perdagangan global, salah satu inisiatif dilaksanakan ialah Selangor International Business Summit (SIBS) 2018 yang akan diadakan September depan,” katanya pada Majlis Pelancaran SIBS di MITEC, di sini.

Chang Khim berkata dengan rekod pencapaian yang menyumbang 22.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) pada 2016, Selangor mengatasi kemakmuran, kepelbagaian ekonomi dan daya tahan sesebuah negeri.

“Ini mengiktiraf dan meletakkan Selangor sebagai ‘pintu gerbang ASEAN’ sekaligus memudahkan perdagangan dan pertumbuhan di seluruh rantau ini.

“Sebagai pintu gerbang ASEAN dan hab perdagangan global, Selangor merupakan titik pusat penting bagi perniagaan domestik dan antarabangsa yang ingin membina atau mengukuhkan kehadiran pelabur di ASEAN,” katanya.

Beliau turut mengajak pelabur untuk bekerjasama dan bersatu untuk terus kukuh dan berdaya saing di arena global.

“Seperti yang diketahui, landskap ekonomi global berubah dengan pesat dan kita semua bertanggungjawab memastikan negara-negara ASEAN bekerjasama sebagai satu komuniti dan menyokong satu sama lain,” katanya.


Pengarang :